Sejarah Prasekolah di Malaysia

Prasekolah di Malaysia mula diperkenalkan sekitar tahun 1950-an. Pada ketika itu, program prasekolah hanya difokuskan kepada keluarga yang berpendapatan tinggi kerana yuran persekolahan yang agak tinggi[2].

Pada tahun 1970-an, pendidikan prasekolah mula berkembang di Malaysia, kerana ibubapa pada ketika itu ingin melengkapkan anak-anak dengan pendidikan yang memadai sebagai sebahagian daripada persediaan ke alam persekolahan rendah[3]. Tabika KEMAS merupakan prasekolah awam pertama yang ditubuhkan oleh Jabatan Kemajuan Masyarakat[4], di bawah Kementerian Luar Bandar Malaysia. Selain KEMAS, agensi kerajaan lain seperti Jabatan Perpaduan Negara menubuhkan Tabika Perpaduan di kawasan bandar[5][6]. Tabika Perpaduan ini ditubuhkan bagi menggalakkan kemasukkan kanak-kanak dari semua kaum.

Pada tahun 1980-an, pihak swasta dan persendirian mula menubuhkan pusat-pusat prasekolah di Malaysia sebagai pilihan alternatif kepada ibubapa[2] yang tidak dapat mendaftarkan anak-anak mereka ke prasekolah di bawah agensi kerajaan. Pusat-pusat prasekolah ini dijalankan secara tidak formal dan memiliki sistem kurikulum yang berbeza-beza[3].

Salah sebuah tadika di Johor.

Pada tahun 1986, Kementerian Pendidikan Malaysia telah menerbitkan Buku Panduan Prasekolah Malaysia bagi panduan kepada penyelarasan pelaksanaan program prasekolah di Malaysia.

Pada 18 Disember 1991, Mesyuarat Jemaah Menteri bersetuju supaya Kementerian Pendidikan Malaysia melaksanakan program prasekolah KPM bermula pada sesi 1991/1992. Pada tahun 1992, kelas prasekolah mula beroperasi di Sekolah Kebangsaan. Pada ketika itu, sistem kurikulum digubal berasaskan kepada Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan prinsip Rukun Negara Malaysia. Program ini dikenali sebagai Prasekolah Annex, yang melibatkan 1070 buah sekolah dan 1131 buah kelas dan ianya diselia secara terus oleh Kementerian Pendidikan Malaysia.

Pada tahun 2001, Kurikulum Prasekolah Kebangsaan mula digubal sebagai langkah ke arah meningkatkan lagi mutu pendidikan prasekolah di Malaysia dan menjadi rujukan tunggal bagi kesemua badan-badan yang bertanggungjawab mengusahakan institusi prasekolah. Bermula tahun 2002, sebanyak 100 buah institusi prasekolah di seluruh Malaysia dipilih sebagai perintis dalam menjalankan program pengajaran dan pembelajaran mengikuti sistem kurikulum Kurikulum Prasekolah Kebangsaan, bagi memastikan keberkesanan sistem kurikulum ini. Mulai 1 Januari 2003, Kurikulum Prasekolah Kebangsaan yang pertama mula dilaksanakan kepada semua tadika kerajaan, bantuan kerajaan dan swasta.